Joomla Templates and Joomla Extensions by ZooTemplate.Com
Info: Hubungi Kami - Sunday, 29 June 2014 17:04
Info: Misi dan Visi - Sunday, 29 June 2014 15:36
Info: Kata Aluan Pengetua - Sunday, 29 June 2014 15:35
Info: Pengasas Madrasah - Sunday, 29 June 2014 15:35
Info: Sejarah Penubuhan - Sunday, 29 June 2014 15:34
Info: Pengenalan Madrasah - Sunday, 29 June 2014 15:34

Pengasas Madrasah

 

Al-Fatihah... Allahyarham Syeikh Tajuddin bin Syeikh Abdul Rahman. Dato' Mursyid Diraja telah kembali ke Rahmatullah pada 11 Mei 2000 bersamaan 7 Safar 1421 hari Khamis 8.00 malam Semoga Allah mencucuri rahmat dan hidayat ke atas rohnya. Amin...


BIODATA AL-MARHUM SYEIKH TAJUDIN BIN SYEIKH ABDUL RAHMAN AL-JARUMI

Al Marhum Dato’ Haji Tajudin dilahirkan di belakang Kilang Ais, Seberang Perak, Alor Setar, Kedah Darul Aman, pada 27 Ramadhan 1343H (18 Sept 1924M). Nama penuh  beliau ialah Syeikh Tajudin bin Sheikh Abdul Rahman Al Jarumi. Bagaimanapun beliau lebih dikenali dengan berbagai panggilan bersesuaian dengan sikap, sifat dan kebolehan serta pribadi yang dimilikinya. Panggilan-panggilan seperti Tok Ayah, Tok Guru merupakan dua panggilan yang begitu sinonim terutama bagi murid-murid dan masyarakat setempat.

Beliau adalah anak Sheikh Abdul Rahman yang ke 8 daripada 11 orang adik beradik. Beliau juga mempunyai 2 orang saudara seibu. Gelaran Al Jarumi adalah disabitkan dari gelaran neneknya Tok Sheikh Jarum (1849 -1911) iaitu salah seorang ulamak yang terkenal di Kedah dan Nusantara pada abad yang ke 19 juga merupakan guru kepada baginda Sultan Abdul Hamid Halim Shah.  Nama sebenar Tok Sheikh Jarum ialah Sheikh Idris bin Jamaluddin bin Sheikh Abdul Latif bin Sheikh Shamsuddin bin Sheikh Muhammad Faqih bin Sheikh Muhammad Yasin bin Sheikh Ibrahim Al Hadrami bin Sheikh Ibar al Hadrami al Jarmi atau lebih dikenali umum sebagai Sheikh Jamaluddin al Kubro.

Manakala bapa beliau juga adalah seorang ulamak yang terkenal di Alor Setar iaitu Sheikh Abdul Rahman Al Jarumi yang telah membuka pondok di Batu 1, Jalan Sungai Korok, Alor Setar. Beliau juga menjadi guru kepada Baginda Sultan Abdul Hamid dan Sultan Badlishah serta kerabat-kerabat. Ibu beliau Nik Rahmah (Nik Doh) binti Nik Abdul Manaf adalah seorang guru Al Quran dan merupakan kerabat Raja Teluban salah sebuah Wilayah di Patani.

Semasa zaman kanak-kanak beliau memperolehi pendidikan rendah dipondok ayahnya sendiri iaitu di pondok Batu 1. Di samping belajar menulis dan membaca beliau juga diajar menghafaz matan dan fardhu ‘ain.Manakala pelajaran Al Quran adalah diperolehi dari ibunya sendiri iaitu Nik Doh iaitu seorang guru Al Quran dan tajwid yang masyhur.

Setelah mencapai usia remaja iaitu ketika berumur 10 tahun beliau dihantar oleh ayahnya ke Mekah untuk melanjutkan pelajaran menengah dan tinggi. Ketika di Mekah beliau dihantar belajar di Sekolah Tinggi Darul Ulum. 3 tahun (1933-1935) peringkat menengah rendah dan 4 tahun peringkat menengah atas (1936-1942). Menyambungkan pelajaran peringkat tinggi selama 2 tahun (1943-1944) hingga mendapat syahadah ‘Aliah iaitu sijil tertinggi di Mekah pada masa itu.  Beliau juga mendalami ilmu-ilmu agama di Masjid Al Haram Mekah selama 3 tahun iatu (1943-1945).

Ketika di Darul Ulum beliau mempelajari ilmu-ilmu agama, Bahasa Arab,  dan pelajaran lain seperti Mantik, Matetamatik dan Sains. Di antara pelajaran-pelajaran agama yang beliau pelajari di sini  termasuklah Feqah, Faraid, Usul Feqah, Qawaid Feqah, Tafsir, Ulum Quran, Hadis, Mustolah, Tauhid, dan Sejarah Islam. Manakala pelajaran-pelajaran Bahasa Arab pula ialah Nahu, Sorof, Insyak, Mutolaah, ‘Arudh, Nusus, Adab dan Balaghah. Ketika di masjid Al Haram pula beliau mendalami ilmu Feqah, Usul Feqah, Tauhid, Tafsir, Hadis dan Tasawuf dan sempat bermulazamah dengan beberapa guru terkenal. Beliau merupakan seorang pelajar yang pintar kerana semasa pengajian diperingkat menengah beliau sudah mampu merujuk kitab-kitab Arab mu’tabar. Semasa di dalam kelas beliau digelar oleh gurunya Sheikh Muhammad Yasin Al Fadani dan rakan-rakannya sebagai Taj as-Asubki  kerana kebolehan beliau yang tinggi dalam membaca dan memahami dengan baik dalam pelajaran Usul Feq ketika mempelajari dan mengkaji kitab usul Feq yang mashur iaitu Jam’u  al Jawami’ karya Imam Tajuddin As-Subki ialah ulama’ besar dalam ilmu perundangan Islam. Kitab ini menjadi rujukan utama di pusat-pusat pengajian tinggi hingga sekarang ini.

Semasa di Mekah beliau sempat berguru dengan
Muhaddis Hijaz Al Hafiz Syeikh Omar Hamdan Al Mahrisi, Sheikh Ali Husain Al Maliki, Sayyid ‘Alawi bin Sayyid Abbas Al Hasani,Syeikh Hasan Al Masyalt, Syeikh Ahyad Al-Jawi, Sheikh Shafie Kedah, Sheikh Ismail Abdul Qadir Al Fatoni, Sayyid Muhammad Amin Al kutbi, Sheikh Muhammad Yasin Isa Al Fadani Al Makki,  Sheikh Zain Al Boyani, Sheikh Yaakub bin Abdul Qadir Al Mandili dan Sheikh Husain Abdul Ghani Al Falimbani.

Beliau sempat bermulazzamah dengan gurunya yang terkenal iaitu al ‘Allamah Al-Musnid Muhammad Yasin Isa Al Fadani Al Makki iaitu ‘ulamak Hadis dan Sanad yang masyhur di Makkah al Mukarromah. Dengan beliaulah Dato’ Haji Tajuddin menerima ijazah sanad-sanad Hadis dan kitab-kitab Mu’tabar yang menjadi sumber rujukan di dalam ilmu-ilmu Islam. Walaupun selepas menghabiskan pengajian di Mekah dan pulang ke tanah air, namun beliau sentiasa berhubung dengan gurunya itu. Syaikh Muhammad Yasin melantik beliau sebagai wakilnya di Malaysia untuk menyampaikan sanad-sanad beliau semasa musim haji tahun 1970M.

Dari sudut pribadi Dato’ Haji Tajudin adalah seorang yang lemah lembut, peramah dan mudah mesra dengan sesiapa sahaja yang menziarahinya. Beliau adalah seorang yang kuat beribadat. Beliau banyak menghabiskan masa hidupnya dengan mengajar dan merujuk kitab-kitab. Di samping itu beliau sentiasa meluangkan masanya mendidik dan menasihati anak-anaknya.

Apabila kita memperkatakan mengenai pribadi Dato’ Haji Tajuddin, adalah tidak sah jika tidak menyebut Madrasah Nahdhah Hasanah Melele kerana beliaulah orangnya yang bertanggung jawab mendirikan sebuah madrasah atau sekolah agama yang terkenal sekarang.  Setelah pulang dari Mekah pada awal tahun 1946 dalam usia 21 tahun beliau berkahwin dengan Puan Siti Zubaidah binti Ismail 18 tahun.

Perkahwinan ini menghasilkan 9 orang cahaya mata. Sesungguhnya ketentuan hidup dan mati itu di tangan Allah. Anak ketiga beliau Faiqah meninggal dunia ketika berumur 4 tahun setelah terjatuh ke dalam perigi berdekatan dengan rumahnya. Ini merupakan cabaran yang paling perit beliau, ketika baru membuka pondok di Melele. Anak beliau yang masih ada ialah lapan orang iaitu: Fauziah, Ahmad Shafik, Ahmad Najib, Saulah, Mahmud Pathi, Zakiah, Mohd Jamil Sadaqi dan Muhammad Farid Wajdi. 7 orang anaknya telah mencecahkan kaki ke pusat pengajian tinggi. Daripada itu tiga daripadanya telah berjaya mencapai ke peringkat ijazah Sarjana atau Master.

Pada Tahun 1946 beliau mula mengasaskan Madrasah Nahdhah Hasanah.Melele. Beliau dilantik oleh penduduk-penduduk setempat menjadi mudir yang pertama hingga sekarang. Pendorong utama beliau untuk menerima jawatan ini ialah ayahnya sendiri Sheikh Abdul Rahman dan isterinya Siti Zubaidah.

Keadaan di Melele pada masa itu sangat mencabar di mana ia dipenuhi dengan hutan belentara, sunyi pada waktu malam hanya terdengar bunyi cengkerik dan binatang buas serta tiada kemudahan asas seperti elektrik dan air. Rumah yang mula-mula di duduki adalah pondok kecil hanyalah bertiang dan berlantai kayu bulat, berdinding pelepuh dan beratap rumbia. Keadaan masyarakat pula kebanyakan daripada mereka mengamalkan kepercayaan tahyul, tok keramat, khurafat dan syirik. Keramat Tok Melele dipuja apabila datang musim menuai. Berjudi laga ayam dan kerbau adalah amalan kebiasaan penduduk pada masa itu malah mempunyai gelanggang sendiri.

Bermula dari cabaran inilah beliau mengatur stragegi untuk mengubah keadaan fizikal kawasan dan mengubati kepincangan yang berlaku di dalam  masyarakat. Walaupun keadaan yang sukar dan amat berlainan pula dengan apa yang dialaminya dengan kesedapan hidup di bandar Alor Setar dan di Mekah beliau tetap bersabar.

Berkat kesabaran dan kesungguhan, sekarang alhamdulillah, Madrasah Nahdhah Hasanah telah berjaya berdiri megah sama tinggi dengan irama masyarakat moden dan sekarang mempunyai 1,000 orang penuntut. Di antara anak didik Madrasah Nahdhah Hasanah yang telah menghabiskan pengajian di Madrasah ini dan telah mecapai kedudukan yang cemerlang di dalam masyara ialah Dato’ Sheikh Yahya bin Jusuh YDP Majlis Agama Kedah sekarang dan Prof Dr. Wan Salim bin Wan Muhamad Nor pensyarah USM. Ramai daripada pelajar-pelajar madrasah ini telah menjawat pelbagai jawatan penting di dalam masyarakat dan kerajaan.

Pondok Melele 1946

Pada peringkat awal penubuhan Madrasah Nahdhah Hasanah adalah sungguh mencabar kerana terpaksa berjalan berbatu-batu merentasi hutan, paya dan sungai untuk berdakwah sambil memperkenalkan sekolah yang baru ditubuhkan, untuk mendapat sokongan moral dan wang ringgit. Pembantu beliau yang sama-sama berjuang  untuk membangunkan Madrasah ialah Tuan Imam Lebai Salleh iaitu Imam Masjid Melele, dan beberapa orang lagi.
Selain daripada menumpukan pengajaran di sekolah atau pondoknya, beliau juga mengajar di beberapa tempat. Sekarang beliau masih mengajar di surau Kerabat Diraja di Alor Setar. Selain daripada itu, kelas umumi dan tafaqquh yang masih berjalan ialah di surau Madrasah Nahdhah Hasanah. Di antara kitab yang beliau guna di dalam pengajaran beliau ialah kitab Syarah Al Hikam Ibnu Atoillah karangan Tokku Pulau Manis, Minhaj Al ‘Abidin karangan Imam Al Ghazali, Bughuyah At Tullab karangan Sheikh Daud Al Fatoni, Kasyhful Al Litham karangan Sheikh Zainal Abidin Al Fatoni, Siarus As Salikin karangan Sheikh Abdul Samad Al Falimbani, Aqidah An Najin karangan Sheikh Zainal Abidin Al Fatoni, Hidayah As Salikin karangan Sheikh Abdul Samad Al Falimbani, Sabilul Al Muhtadin karangan Sheikh Muhammad Irshad Al Banjari dan Bakurah Al Amani Sheikh Ismail Abdul Kader Al Fatoni yang merupakan kitab-kitab Jawi.

Manakala kitab berbahasa Arab pula ialah Majmu’ An Nawawi Syarah Al Muhazzab karangan Iman Nawawi, Jam’u al Jawami’ karangan Imam Tajuddin as Sabki, Al Hikam Ibnu Atoillah Syarah Ibnu ‘Ibbad, Ihya Ulum ud Din karangan Imam Al Ghazali, Tafsir Ibnu Kathir dan Riadus As Solihin karangan Imam Nawawi.

Setelah berdakwah secara lisan serta menglibatkan diri dalam dakwah dan keagamaan sama ada peringkat negeri atau kebangsaan, beliau juga terlibat dalam penghasilan karya-karya penulisan.

Di antara murid-murid beliau hasil daripada pendidikan di sekolah Nahdhah Hasanah ialah Al-Masnid Syeikh Fuad Kamaludin Al-Rembawi, Ustaz Hashim Ishak Timbakan Pengetua Sekolah Nahdhah Hasanah, Yang Amat Arif Dato' Syeikh Yahya Jusuh Hakim Besar Mahkamah Syariah Negeri Kedah, Prof Dr Wan Salim Wan Mohd Nor, Pensyarah USM, Prof Dr Rusni Samah Dekan USIM, Syeikh Abdullah Ahmad Bahagian Fatwa Jskim, Syeikh Sobri Arsyad Tok Guru Pondok di Pulau Pinang, Ustaz Roslan Che Ros Pegawai Jabatan Agama Islam Pulau Pinang, Ustaz Alias Ahmad Pensyarah Darul Quran JAKIM, Syeikh Azian Man Al-Hafiz, Imam Besar Masjid USJ 9, Subang Jaya, Ustaz Helmi Al-Hafiz Pensyarah KITAB, Tuan Guru Haji Abdul Rahman, Pengetua Sekolah Agama Ban Klong, Thailand dan ramai lagi yang tidak dapat disebut disini.

Beliau juga mempunyai murid-murid pengajian kitab turas di antara murid-murid beliau yang aktif dalam pengajaran kitab Turas ialah Tuan Guru Haji Osman PondokTeluk, Bukit Pinang, Tuan Guru Haji Ibrahim Lepai, Ustaz fadhil Hasan Padang Perahu, Tuan Guru Haji Radi Had Padang Perahu dan lain-lain.

 

 

Antara karya-karya beliau berbentuk penulisan ialah:

1- Rahsia Sembahyang – terbitan Majlis Agama Islam Kedah
2- Doa’ Pagi Dan Petang – terbitan Majlis Agama Islam Kedah
3- Perhimpunan Ibadat Qiyamullail – terbitan Majlis Agama Islam Kedah
4- Rahsia Haji – diterbitkan sendiri untuk kuliah ibadat haji beliau.
5- Dan beberapa risalah lain.

Selain daripada menumpukan pengajaran di Madrasah secara formal dan umumi beliau juga melibatkan diri di dalam kegiatan-kegiatan lain iaitu:

1- Ahli Majlis Agama Islam Negeri Kedah – semenjak 1960an hingga 2000.
2- Ahli Jawatankuasa Zakat Negeri Kedah – semenjak 1970an hingga 2000.
3- Ahli Majlis Fatwa Negeri Kedah – semenjak 1980an hingga 2000.
4- Ahli Jawatankuasa Ibadat Haji, Lembaga Urusan Tabung Haji  - 1994 hingga 2000.
5- Pakar Rujuk Ibadah Haji di Mekah – 1995 hingga 2000
6- Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan – 1995 hingga 1999
7- Ahli Majlis Agama Kebangsaan – 1995 hingga 1999

Anugerah-anugarah:

Di atas jasa bakti yang beliau curahkan beliau dianugerahkan dengan berbagai-bagai gelaran dan pingat iaitu :


1- Pingat Jasa Kebaktian PJK, oleh DYMM Sultan Kedah – tahun 1969.
2- Ahli Mahkota Kedah AMK, oleh  DYMM Sultan Kedah – pada 10/1/1980.
3- Ahli Mangku Negara AMN oleh Yang Dipertuan Agung – pada 4/6/1980.
4- Dato’ bergelar Dato’ Mursyid Diraja oleh DYMM Sultan Kedah – pada 17/1/1988.
5- Anugerah Pendidik Jaya Negeri Kedah – pada Hari Guru tahun 1991.
6- Anugerah Perkhidmatan Cemerlang oleh Majlis Agama Islam Negeri Kedah – tahun 1993.
7- Darjah Kebesaran Negeri Kedah iaitu DSDK (Dato’ Setia Diraja Kedah) oleh DYMM Sultan Kedah - pada 23/1/1994.
8- Anugerah Tokoh Guru Kubang Pasu - pada 23 Mei 1998.
9- Bintang Kebesaran Orang Besar Enam Belas – Hari Keputraan DYMM Sultan Kedah tahun 2000.
10- Tokoh Maal Hijrah 1421H/ 2000M peringkat negeri Kedah.

Akhir sekali satu keistemewaan yang terdapat pada beliau ialah mengenai kebolehan beliau dalam mengaplikasi komputer. Sejak hujung tahun 1980an beliau sudah menggunakan set komputer pribadi sendiri. Beliau adalah seorang yang mahir dalam menggunakan beberapa perisian komputer di antaranya ialah perisian Macintosh Mac Draw. Tauladan yang ditunjukkan kepada kita bermakna usia yang tua bukan menjadi penghalang untuk seseorang untuk menguasai bidang teknologi terutamanya teknologi maklumat atau komputer asalkan diri dipupuk dan melaksanakan usaha tanpa putus asa.

Perginya Al Marhum membawanya banyak kenangan dan pengajaran kepada kita. Kematian seorang ulama’ besar ini amat menyusuk hati insan yang beriman. Teriak tangis ada di mana-mana bagaikan terpadamnya sebuah nur yang menerangi alam. Al Marhum bukan sahaja membawa ilmu pengetahuan dan pengajaran kepada kita tetapi juga membawa barkat, rahmat dan perlindungan daripada Allah kepada kita semua. Bagaimanapun beliau telah berwasiat kepada sahabat-sahabat beliau dan kepada kita semua agar meneruskan perjuangan dan berjihad dengan penuh ikhlas untuk memartabatkan ilmu dan meninggikan syiar Islam. Wasiat rasmi beliau yang terakhir ialah Sheikh Farid Wajdi sebagai mudir, Shekh Harun Jasin mengurus hal-ehwal akademikdan Ustaz  Jamil Al-Jarumi mengurus al-ehwal pentadbiran dan pembangunan Madrasah Nahdah Hasanah. Marilah kita bersama-sama membai’at mereka bertiga yang akan menerajui Madrasah Nahdah Hasanah. Al Marhum sentiasa berdoa’ agar Madrasah Nahdhah Hasanah  mencapai kejayaan dan barkat. InsyaAllah semoga kita sama-sama berusaha dan berganding bahu untuk mencapai kejayaan.

GREEN Blue Orange BACK TO TOP